Nama biasa Mengkudu, mengkudu besar
Nama botani Morinda citrifolia L.
Famili Rubiaceae
Habitat dan Taburan
Pokok mengkudu berasal dari pulau-pulau Pasifik. Kini mengkudu boleh didapati di Asia Tenggara dan Australia. Di Malaysia, pokok ini hidup liar tetapi kadang-kadang ditanam di sekitar rumah untuk kegunaan harian.
Ciri Morfologi
Pokok mengkudu bersaiz kecil, tingginya mencapai 8 m dan sentiasa menghijau. Daunnya besar, berwarna hijau tua dan berkilat. Bentuk daun bujur panjang atau clips. Bunga kecil dan berwarna putih, terdapat pada jambak tongkol. Petalnya mengandungi 5-7, berwarna putih. Buahnya terbentuk daripada jambak kepala yang berkembang menjadi buah majmuk. Setiap kuntum bunga meninggalkan bekas tigma yang nyata seakan-akan mata pada ubi kentang. Buah yang matang panjangnya kira-kira 6-8 cm, berwarna hijau kekuningan. Setiap anak buah mengandungi biji kecil yang berbentuk hampir bulat. Biji-biji ini berwarna perang dan tertanam di dalam isi.
Khasiat/Kegunaan
Makanan
Pucuk yang muda dan lembut sedap dibuat ulam. Di negeri Sarawak, pucuk muda dimasak sebagai sayur bercampur dengan sayur lain atau dicelur dan dibuat kerabu. Daun mengkudu yang matang dibuat sebagai pembalut ikan. Buah yang masak boleh dimakan segar bersama sambal belacan atau dimasak.
Perubatan
Pokok mengkudu kadang-kadang ditanam untuk pengeluaran bahan pewarna yang diabstrak daripada beberapa bahagian tumbuhan ini. Di negara India dan Indonesia, pokok ini ditanam untuk industri batik dan tekstil. Buah yang masak dimakan untuk membersihkan darah wanita selepas bersalin dan dipercayai dapat mengawal penyakit kencing manis. Isi buah mengkudu boleh digunakan untuk mencuci rambut. Daun-daunnya yang matang, dilayur dan didemah pada dada dan perut bayi yang baru lahir untuk mengelakkan dan menyembuhkan kembung perut. Buah yang segar pahit rasanya tetapi mengandungi kalsium, vitamin A dan C, baik dimakan mentah sebagai ubat bagi ibu-ibu selepas bersalin.
source:
Rukayah Aman
Ulam dan Sayuran Tempatan Semenanjung Malaysia
DBP 2002
{ 1 comments... read them below or add one }
tak pernah makan. sedap ke?
Post a Comment